Kapten skuad Felda United, Shukor Adan, menyasarkan kemenangan dalam aksi Liga Super apabila turun berdepan Kedah malam ini selepas tumpas 1-3 di tangan PKNP FC dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, minggu lalu.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu percaya bahawa kebangkitan segera perlu dijelmakan Felda bagi memulihkan semula semangat pemain untuk berdepan PKNP dalam suku akhir kedua, selepas ini.

“Bagi saya, kami perlu mendapatkan keyakinan semula walaupun saya akui bukan mudah untuk menundukkan Kedah, terutama di hadapan penyokong mereka.

“Pemain-pemain harus memperbaiki kelemahan dan tidak leka bagi mengelak perkara yang berlaku ketika menentang PKNP, baru-baru ini,” ujar Shukor.

Dalam masa sama, tonggak pertahanan Felda itu tetap enggan memandang mudah cabaran Kedah walaupun skuad Lang Merah dijangka bakal merehatkan beberapa tonggak utama.

Bagi Shukor, Kedah adalah sebuah pasukan yang memiliki kekuatan keseluruhan yang seimbang dan pastinya bukan satu tugas mudah berdepan mereka di Stadium Darulaman.

“Bermain di Darulaman pastinya bukan mudah walaupun beberapa pemain utama mereka tidak diturunkan.

“Kami tidak boleh mengambil ringan pertemuan itu dan harus mengikuti setiap perancangan yang dilakukan oleh jurulatih, B. Sathianathan,” tambahnya.