Tonggak pertahanan skuad B-18 negara, Shivan Pillay Asokan, bertekad untuk menjadikan tahun ini sebagai musim buat dirinya beraksi bersama skuad utama PKNS FC dalam Liga Super.

Pemain berusia 18 tahun itu adalah antara pemain negara yang cemerlang ketika saingan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun yang berakhir Ahad lalu.

Shivan kini turut membarisi skuad B-19 dan B-23 kebangsaan selain skuad Piala Presiden PKNS.

Setakat ini, dia sudah dipanggil menjalani latihan bersama skuad utama PKNS dan berasa musim ini adalah waktu paling tepat buat dirinya untuk meraih masa bermain dengan pasukan kendalian Datuk K. Rajagobal itu.

"Saya meraih banyak pengalaman daripada skuad B-19 dan B-23, jadi saya akan cuba menembusi pasukan utama pada tahun ini. Saya rasa pada usia 18 tahun, ia adalah peluang buat saya," katanya.

Dalam masa sama, Shivan mengakui keampuhan skuad PKNS musim ini turut membuatkan persaingan merebut tempat cukup mencabar.

Namun, dia turut bersedia beraksi di posisi bek kanan dan tiada masalah buatnya menyesuaikan diri dengan rakan senior PKNS yang sentiasa memberi dorongan kepadanya.

"Bagi saya, mana-mana posisi yang diberikan, saya akan cuba yang terbaik kerana saya mampu beraksi sebagai bek kanan atau tengah.

"Ia agak mencabar tetapi walau apapun, saya akan bersaing untuk merebut tempat," katanya lagi.