Pemangku ketua jurulatih Selangor, K. Gunalan, mengakui kehadiran semula tonggak pertahanan dan kapten pasukan, Shahrom Kalam, adalah tepat pada masanya untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan T-Team, lusa.

Shahrom, yang sebelum ini tersisih selama hampir tiga bulan, kembali cergas apabila mampu mengerah kudratnya selama 90 minit bersama skuad negara ketika aksi persahabatan dengan Afghanistan, 11 Oktober lalu.

Bekas pemain Perak dan Kuala Lumpur itu kembali menjalani latihan bersama Selangor hari ini dan Gunalan mengakui kehadiran Shahrom dalam skuad turut menyuntik keyakinan rakan sepasukannya selain menguatkan benteng.

"Kehadiran Shahrom sejak kebelakangan ini telah menyuntik semangat kepada pasukan dan pemain telah beraksi dengan baik.

"Walaupun dalam perlawanan separuh akhir pertama kami gagal untuk memanafaatkan peluang-peluang yang kami miliki, saya berasakan dengan kehadiran Shahrom, ia memberikan aura kepada pasukan," jelas Gunalan.

Turut menjalani latihan hari ini ialah empat lagi pemain Selangor yang bersama skuad kebangsaan sebelum ini, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Norazlin, S Veenod dan Khairul Azhan Khalid.

Dalam pada itu, Shahrom menyarankan rakan sepasukannya agar kekal berwaspada dengan T-Team, untuk aksi yang berlangsung lusa, walaupun mendahului 2-1 selepas aksi separuh akhir pertama.

"Alhamdulillah saya dapat bersama pasukan, semuanya seperti teratur cantik untuk saya. Secara perlahan-lahan saya telah mendapat kembali kecergasan saya dan saya telah bersedia untuk perlawanan akan datang.

"Untuk perlawanan bertemu T-Team, kami perlu lebih berdisiplin dan kekal fokus. Menentang T-Team di laman mereka bukan kerja yang mudah, kami perlu berusaha lebih untuk memastikan kami melangkah ke final," ujar Shahrom.

Selangor mempunyai rekod yang baik dalam Piala Malaysia -- mereka telah melayakkan diri sebanyak 58 kali ke peringkat separuh akhir, menjuarai Piala Malaysia sebanyak 33 kali, dan misi 33 mereka tercapai musim lalu di bawah bimbingan Mehmet Durakovic.