Dua pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Muhammad Hafiz Ramdan, bakal memperkuatkan juara bertahan Piala Malaysia, Perak, dalam kancah Liga Malaysia musim 2019.

Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata persetujuan sudah diperoleh daripada PKNP FC mengenai pelepasan kedua-dua pemain itu.

"Shahrel dan Hafiz akan memperkuatkan Perak musim baru nanti.

"Saya yakin kehadiran mereka akan memantapkan lagi Perak," ujarnya.

Shahrel atau Eky, yang mempunyai kontrak bersama kelab konglomerat itu sehingga 2020, sedang beraksi dalam Liga Thailand 1 bersama pasukan Nakhon Ratchasima secara pinjaman selama lima bulan sejak Julai lalu.

Hafiz pula yang lebih dikenali sebagai Kancil menyertai PKNP secara pinjaman daripada Perak pada 2017 dan sejak itu menjadi tonggak skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu, terutama semasa ketiadaan Shahrel.

Sebelum ini, The Bos Gaurus mengikat bekas pemain Terengganu FC yang juga anak jati Perak, J. Partiban, bulan lalu.

Adly berkata dia juga akan membuat keputusan mengenai kedudukan Mohd Hafiz Kamal selepas mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.

Pemain berusia 31 tahun kelahiran Pantai Remis itu sudah pulih daripada kecederaan 'posterior cruciate ligament' (PCL), iaitu koyak ligamen di belakang lututnya, yang dialami pada September 2017 yang menyebabkan dia terpaksa berehat sepanjang musim 2018.