Tindakan melepaskan pemain kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi, dibuat atas rasa tanggungjawab kepada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata kelab itu mengutamakan keperluan PAFA dan menyerahkan kepada Shahrel Fikri atau dikenali sebagai Eki untuk membuat keputusan.

"Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab PKNP untuk membantu PAFA.

"Kami tidak campur atau cuba mempengaruhi Eki dalam membuat keputusan kerana mahu yang terbaik untuk dirinya dan juga pasukan Perak.

"PKNP tidak terkilan dan reda dengan keputusan Eki itu," jelasnya.

Selain Shahrel Fikri, Perak juga sedang mencuba untuk mendapatkan khidmat Mohd Hafiz Ramdan tetapi mereka menangguhkan keputusan itu.

Zainol yakin ketiadaan bekas kaptennya itu tidak menjejas pasukannya, sebaliknya ia peluang buat pengendali pasukan, Abu Bakar Fadzim, melahirkan pemain baru.

"Kami akan melahirkan lebih ramai bintang untuk diketengahkan," katanya.

Presiden PKNP itu juga berkata bagi menarik sokongan penyokong, PKNP FC akan mengeluarkan pas tahunan dan memberikan tiket percuma untuk memasuki Studio MAPS di Meru Raya.

Beliau berharap pasukan itu akan berjaya menarik sokongan penonton, terutama di daerah Manjung, setiap kali beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) itu.

"Kami berharap penyokong PKNP akan tampil menyokong pasukan ini agar impian menjadi pencabar digeruni menjadi kenyataan," katanya.