Pengendali Selangor, P. Maniam, terpaksa menelan pahit apabila pasukannya tewas 3-0 di tangan tuan rumah, Perak, dalam aksi Liga Super di Stadium TLDM Lumut, malam tadi.

Lebih parah apabila Red Giants seperti gagal mempamerkan aksi hebat mereka sebelum ini apabila Perak dilihat lebih gagah memberi asakan bertali arus, terutama dalam separuh masa pertama.

"Kami gagal membaca pelan permainan Perak yang banyak menghantar bola jauh dan ini menekan barisan pertahanan. Kami juga gagal mengatur permainan dengan baik.

"Terdapat juga kesalahan individu yang memudahkan pemain Perak untuk bertindak. Oleh sebab itu, kami gagal bermain seperti biasa.

"Cuma pada babak kedua, barulah ada peningkatan dalam pasukan tetapi sukar untuk kembali apabila lawan sudah mendahului dengan tiga gol. Pasukan Selangor tidak patut bolos dengan tiga jaringan.

"Saya ucapkan syabas kepada Perak." ujar Maniam.

Namun, pengendali Selangor itu tetap memberi pujian kepada anak buahnya.

"Mereka telah berjuang, cuma malam ini bukan malam kami.

"Saya harap selepas ini pemain boleh lupakan kekalahan ini dan teruskan perjuangan, terutama perlawanan terdekat dengan Terengganu untuk aksi Piala FA dalam masa lima hari lagi," ujarnya.