"Bukan sebab kalah dalam final Piala FA." Demikian tegas jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, yang sebaliknya berasakan prestasi merudum skuad Gergasi Merah sedikit-sebanyak berpunca daripada jadual padat yang terpaksa ditempuhi pemainnya ketika ini menjelang kunjungan ke Melaka United, malam esok.

Kekalahan 0-2 kepada Pahang dalam pertembungan final Piala FA lalu tampak masih berbekas kepada barisan Selangor.

Ini kerana prestasi anak buah Nazliazmi agak menurun ketika membabitkan perlawanan dengan pasukan bawahan liga, Kelantan, dan terbaru, Negeri Sembilan, Rabu lalu.

Justeru, situasi itu meletakkan Selangor dalam kedudukan tidak selamat -- di tangga kesembilan -- dalam Liga Super walaupun kurang satu perlawanan berbanding pasukan lain.

"Tiada isu-isu besar yang timbul dalam pasukan.

"Cuma yang saya nampak, tujuh perlawanan dalam tempoh sebulan (menjejaskan pasukan).

"(Faktor) pemulihan cukup penting buat pemain manakala persembahan pemain kesebelasan utama pula sedikit longgar dan kurang daripada segi prestasi," katanya.

Untuk rekod, Selangor gagal mencatat sebarang kemenangan dalam enam aksi terakhir, seterusnya menyaksikan tiada pilihan menjamin tempat untuk mereka dalam Liga Super musim depan.