Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerima tamparan besar apabila permohonannya untuk kembali menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah ditolak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

FAS yang kini menggunakan Stadium Selayang apabila menerima kunjungan pasukan lawan dalam saingan Liga Malaysia terpaksa menerima hakikat hajat mereka tidak dapat dipenuhi.

“Pihak MBSA telah menghantar surat mengatakan permohonan ini ditangguhkan, maksudnya kami tidak dapat beraksi di Stadium Shah Alam,” ujar Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Kami amat kecewa. Walaupun kami dilayan baik oleh Majlis Perbandaran Selayang, kami berharap dapat kembali ke Shah Alam.

“Nampaknya kami terpaksa menyimpan hasrat itu buat masa sekarang,” katanya.

Sementara itu, Subahan menjelaskan bahawa FAS bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang berkenaan isu pemilikan Akademi Merah Kuning di Puncak Alam, Selangor.

Bukan setakat itu, Subahan juga kecewa apabila skuad Piala Presiden dan Belia turut menerima nasib malang apabila tidak dibenarkan untuk berlatih di Padang SUK bermula awal bulan ini.

“Sebenarnya, tempat tersebut diwujudkan untuk bakat-bakat muda, malangnya kini telah tiada tempat latihan, malah stadium juga tidak diberikan kepada kami,” katanya.

“Tempat yang sepatutnya kami gunakan untuk tujuan pembangunan sukan telah dijadikan sebahagian daripada perniagaan, sesuatu yang tidak patut berlaku di dalam negeri Selangor.”