Menjelang sepak mula Liga Super 2020, Selangor mahu mengelak permulaan seperti musim lalu dalam usaha mereka mencabar kejuaraan musim ini.

Tidak banyak info yang diketahui mengenai kesebelasan utama skuad Pahang menjelang aksi di Stadium Darulmakmur Sabtu ini berikutan melepaskan sejumlah pemain serta kehilangan beberapa tonggak penting.



Namun, pengendali berpengalaman, B. Sathianathan, tidak mahu terlalu memikirkan misteri yang menyelubungi lawannya itu.

Bekas jurulatih kebangsaan itu mengakui rakan sejawatnya di Kuantan, Dollah Salleh, mempunyai pelbagai taktikal khususnya dalam perlawanan penting.



Sehubungan itu, Sathianathan meletakkan sasaran realistik -- satu mata sudah cukup untuk Gergasi Merah memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan.

"Dalam dunia bola sepak di Malaysia, tiada rahsia.

"80 peratus kekuatan Pahang masih ada dan mereka memang kuat," katanya kepada wakil Nadi Arena, Adam Zamri di Shah Alam hari ini.

Sathiananthan juga bersikap profesional mengenai undian pusingan kedua Piala FA apabila menemukan pasukan bimbingannya dengan Sarawak United yang turut dibarisi bekas pemain Selangor, Amri Yahya.

Amri mencetuskan kontroversi apabila mengangkat kaki ekoran keretakkan hubungannya dengan jurulatih itu.

"Saya tidak fikir soal lain.

"Pemain yang mencabar saya tetapi saya tidak bercampur dengan pemain. Saya seorang jurulatih.

"Seseorang pemain profesional perlu bermain dengan baik, jangan disebabkan dendam baru nak beraksi dengan baik."