Pengurusan baru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masih merasai tempias ketirisan rejim lama dalam soal mengimbangi kewangan pasukan sehingga hujung musim sementara
kehilangan pengaruh ketua jurulatih, Nazliazmi Nasir, bakal menggugat prestasi skuad Gergasi Merah itu.


Pengurusan FAS di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin Idris Shah, mewarisi masalah kewangan yang membelenggu bekas gergasi bolasepak Malaysia itu.

Kehilangan suntikan dana daripada kerajaan negeri sejak musim 2016 menyaksikan pasukan bola sepak ini hidup daripada hari ke hari.

"Tuntutan yang tinggi untuk membiayai saingan Liga Super tetapi penjanaan pendapatan tidak dapat menampung perbelanjaan pasukan," kata Setiausaha Agung FAS, Dr. Jamal Kamal Hamidon.

Sementara itu, Selangor perlu bangkit segera daripada dua keputusan buruk Liga Super apabila tewas kepada Kelantan 2-1 dan seri 3-3 menentang Kuala Lumpur tanpa Nazliazmi, yang perlu memberi perhatian penuh kepada keluarganya dalam tempoh terdekat ini.

"Nazliazmi perlu bersama keluarga kerana anaknya mengalami komplikasi organ dalaman. Ketiadaannya bersama pasukan dalam dua perlawanan menggugat prestasi pemain-pemain, beliau adalah seorang jurulatih yang bagus," tambah Dr. Jamal.