"Kehadiran Amri Yahyah pasti memperkuatkan Selangor," itu keyakinan disuarakan jurulatih Selangor, P. Maniam, bagi mengulas penyertaan pemain veteran itu dalam jendela perpindahan kedua pertengahan Mei nanti.

Amri kembali dikaitkan bersama Selangor selepas pasukannya ketika ini, Melaka United, sedia melepaskan pemain kebangsaan itu.

Ia susulan kenyataan Pengurus Melaka United, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, semalam bahawa perbincangan telahpun dilakukan bersama pemain itu dan juga Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal.

Perkhabaran itu nyata disambut baik Maniam sambil menyifatkan pengalaman yang dimiliki Amri dapat membantu cabaran skuad gergasi Merah Kuning musim ini.

Selangor sebelum ini berminat mengambil khidmat Amri sebelum musim 2017 bermula tetapi pemain berusia 36 tahun itu memilih untuk mewakili Melaka United.

"Saya rasa Amri seorang pemain yang bagus dan pihak pengurusan juga bercerita tentang penghijrahan pemain itu ke Selangor.

"Kalau dia boleh datang, ia akan memberi impak yang bagus kepada Selangor," kata Maniam.

Sementara itu, Tonggak import Selangor, Francis Forkey Doe, antara individu yang menanti untuk berganding semula bersama Amri.

Kedua-dua pemain berkenaan pernah mewakili Selangor pada musim 2013 dan menganggap Amri contoh terbaik yang dapat membimbing barisan pemain muda Selangor.

"Ia akan menjadi hebat kerana dia adalah pemain legenda, seorang ketua yang hebat. Dia datang ke Selangor dan ia menerujakan saya," katanya.

Amri adalah antara pemain dalam Liga Malaysia yang memiliki pengalaman selaku perancang dan penyerang sama ada bersama kelab mahupun skuad kebangsaan.

Dia sudah mendakap semua piala rebutan termasuk Piala AFC bersama JDT.