Penolong jurulatih PKNP FC, Chan Wing Hoong, mengakui berat hati untuk melihat pasukannya tidak lagi bersaing dalam kancah Liga Malaysia setelah gagal melunaskan misi yang sudah ditetapkan untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

Skuad PKNP dituntut meningkatkan prestasi atau ditutup jika gagal kekal bersaing dalam kelompok elit musim depan.

Amaran itu disuarakan presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, selepas pasukan itu mula bergelut dalam kelompok bawahan liga sejak Mac lalu.

Misi itu cuba direalisasikan anak buah Abu Bakar Fadzim itu sehingga aksi terakhir liga, namun usaha mereka akhirnya dinoktahkan PJ City yang merakamkan kemenangan 1-0 dalam pertemuan kedua-dua pasukan semalam.

"Ia merupakan satu pembaziran kerana pasukan memiliki barisan pemain dalam pembikinan, hampir 100 pemain dan mereka berkemungkinan besar akan terpaksa mencari pasukan baru," kata Wing Hoong.

Sementara itu, jurulatih PJ City, K. Devan, berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya menamatkan saingan di tangga kelapan pada tahun pertama dalam Liga Super.

Skuad PJ City merakamkan kemenangan kedua berturut-turut dibantu jaringan tunggal Washington Brandao menerusi sepakan penalti pada minit ke-75.

""Jika anda lihat senarai kedudukan, saya amat bangga dengan pemain saya sebab kami berada di tempat keempat daripada segi jaringan gol, kami mengekori di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang dan Kedah," kata Devan.