Selamat jalan, T-Team!

Ia ungkapan paling tepat buat pasukan berstatus kelab itu apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini mengambil langkah drastik dengan melakukan penstrukturan semula kesemua pasukan Terengganu.


Perkara itu disahkan Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, menerusi mesyuarat kongres PBSNT 2017, hari ini..

Menurut beliau, penjenamaan semula pasukan Terengganu menyaksikan hanya satu pasukan akan beraksi dalam Liga Super manakala satu lagi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

"Kami tidak menyifatkan T-Team telah bertukar nama tetapi kedua-dua pasukan (termasuk Terengganu) telah dibubarkan.

"Sebahagian pemain daripada T-Team dan Terengganu akan beraksi dalam Terengganu FC I (TFC I) manakala sebahagian lagi akan beraksi dalam Liga Perdana bersama Terengganu FC II (TFC II)," katanya.

Nawawi juga mengesahkan barisan pemain kedua-dua pasukan juga akan dirombak untuk memastikan skuad mantap dibentuk bagi mengharungi cabaran utama Liga Super 2018.

Sementara itu, PBSNT akan melakukan rundingan dengan jurulatih The Titans, Rahmad Darmawan, untuk menentukan hala tuju jurulatih itu selepas T-Team dibubarkan.

"Sekiranya beliau bersetuju untuk membantu kami, PBSNT akan menawarkan jawatan yang lebih besar berbanding mengendalikan TFC II," katanya lagi.