Pengurus skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, mengakui kegagalan anak buahnya mempamerkan persembahan terbaik ketika berdepan Terengganu semalam menyebabkan juara bertahan Liga Super itu terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Selepas ketinggalan kepada jaringan pembukaan Khairul Izuan Rosli ketika aksi berusia tujuh minit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, JDT dilihat hampir mengesahkan kemenangan susulan kebangkitan menerusi gol sumbangan Safawi Rasid dan Diogo Santo.

Namun, Kamal Azizi Zabri meleburkan hasrat pelawat untuk membawa pulang tiga mata apabila menjaringkan gol penyamaan ketika permainan berbaki seminit.

Bagi Figueroa, dia akur kelemahan pasukannya tetapi bertekad mahu semua pemain bangkit dalam perlawanan selepas ini.

"Kami mahu melakar kemenangan tetapi tidak berjaya melakukannya dan saya tidak begitu gembira dengan corak permainan kami. Seluruh pasukan perlu meningkatkan prestasi tanpa sebarang alasan untuk menghadapi aksi seterusnya," ujar Figueroa.

Sementara itu, Irfan jelas berpuas hati melihat anak buahnya mencuri satu mata walaupun sasaran awal mahu meraih mata penuh kerana beraksi di depan penyokong sendiri.

"Saya memuji pemain saya dan persembahan sebegini perlu diteruskan. Selain itu, saya malas nak komen. Hampir 14,000 penonton menyaksikan perlawanan hari ini di stadium. Ia satu mutu persembahan yang baik dan berdisiplin tinggi," kata Irfan.

"Kami mahukan tiga mata kerana beraksi di laman sendiri tetapi seri sudah memadai."