Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, tetap menganggap satu mata yang dikutip dalam perlawanan dengan PKNP FC malam tadi sebagai amat berharga.

"Memang saya menjangkakan perlawanan ini sukar buat kami.

"PKNP FC bukan calang-calang pasukan. Jadi, pulang dengan satu mata kira baiklah," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu, kelab Lembah Klang itu bermula baik dalam separuh pertama.

Pelawat mendahului melalui jaringan S. Surendran pada minit ke-34 tetapi tuan rumah bangkit dengan dua gol dalam babak kedua.

"Kami bermain baik dalam separuh pertama dan memiliki beberapa peluang tetapi hanya menggunakan satu peluang.

"Selepas itu, PKNP bangkit hingga berjaya menjaringkan dua gol. Kami tiada pilihan melainkan terus menyerang.

"Kesungguhan kami berhasil apabila dihadiahkan sepakan penalti dan ia disempurnakan.

"Saya berterima kasih kepada setiap pemain kerana tidak henti berjuang sehingga ke wisel penamat, " katanya.

Jurulatih itu yakin PKNS FC mampu mengelak daripada tersingkir daripada Liga Super 2020.