Pengendali Selangor, B. Sathianathan, tidak merancang sebarang penggantian melibatkan Rufino Segovia yang terpaksa berehat selama empat bulan ekoran kecederaan kaki.

Selangor berpeluang untuk mencari pengganti buat peledak dari Sepanyol itu menjelang jendela perpindahan kedua Mei nanti.

Bagaimanapun, Sathianathan tidak melihat langkah itu sebagai jalan terbaik, sebaliknya menegaskan barisan sedia ada seperti Amri Yahyah atau Sandro Da Silva mampu memberi impak seperti apa yang dilakukan Segovia.

"Saya tidak risau kerana tahu Amri boleh menggalas peranan itu bersama pemain lain. Kalau kami tiada penyerang, kami akan gunakan pemain tengah atau sayap untuk mendapatkan gol. Jangan terlampau bergantung kepada Segovia," katanya.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga menegaskan Segovia bukan mewakili keseluruhan Selangor, malah ia dibuktikan dengan kejayaan skuad Merah Kuning itu mengutip tiga mata pertama tanpa kelibat penuh pemain berusia 34 tahun berkenaan.

Sementara itu, Selangor masih bernafsu mencari mata penuh tatkala mereka menjadikan Terengganu sebagai sasaran dalam pertemuan seterusnya.

Namun, Sathianathan sedar ia bukan tugas mudah memandangkan Terengganu dikendalikan oleh jurulatih penuh pengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

"Tidak mudah untuk mendapatkan tiga mata, namun kami akan mencuba untuk mencapai misi itu kerana telah menundukkan Kuala Lumpur. Diharapkan kemenangan itu membantu keyakinan dan semangat pemain."