Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, memberi bayangan akan mencari pengganti salah seorang pemain importnya menjelang jendela perpindahan kedua.

Walaupun tidak menyatakan secara rasmi, luahan Sathianathan harus terarah kepada kelibat Michal Nguyen yang tampak gagal menyerlah menepati status pemain import.

Michal gagal menambat hati Sathianathan dan beberapa aksi pemain dari Vietnam itu banyak membuka ruang jaringan buat pihak lawan.

Bagaimanapun, peluang masih dibuka Sathianathan untuk pemain itu membuktikan kemampuan sebenar dengan meletakkan aksi menentang Kedah sebagai peluang akhir buat Michal menyerlah.

"Saya memberikan peluang kepada pemain import sehingga perlawanan seterusnya untuk membuktikan kebolehan sebelum membuat keputusan mendapatkan pengganti," katanya.

Tegas Sathianathan, sehingga ke saat ini, dia tiada perancangan untuk menggantikan Rufino Segovia yang dijangka akan kembali beraksi menjelang pusingan kedua Liga Super.

"Pihak pengurusan telah bertanyakan kepada saya mengenai perubahan yang ingin dilakukan. Rufino akan kembali bersama Selangor dan dia seorang pemain yang berkaliber dan berkualiti."

Selangor gagal menyerlah dalam saingan awal Liga Super, namun situasi itu berubah sebaik Red Giants kini berada di tangga ketiga carta liga.