Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengidam untuk mencalarkan rekod bersih Johor Darul Ta'zim (JDT) sambil mengingatkan anak buahnya agar usah gentar dengan keampuhan skuad Harimau Selatan itu di gelanggang keramat lawan, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Rabu ini.

Gergasi Merah muncul pasukan terakhir yang berjaya menafikan tiga mata penuh JDT dalam aksi liga di Larkin, iaitu menerusi keputusan seri tanpa jaringan pada Februari 2017.

Selepas itu, tiada pasukan yang mampu menumbangkan JDT atau setidak-tidaknya seri, secara tidak langsung ia menyerlahkan kekebalan juara bertahan lima musim berturut-turut itu untuk kancah liga di laman sendiri.

Sekalipun menyedari hakikat itu, Sathianathan menegaskan tiada perkara yang mustahil buat barisan pemainnya untuk melakukan kejutan ke atas JDT.

"Apa yang penting, jangan rasa takut.

"Pemain perlu memanfaatkan penguasaan bola, tiada gunanya kami (menggunakan pendekatan) bertahan. Tiada gunanya asyik hilang bola. Kami harus berani pegang bola.

"Ia boleh dikatakan satu pendekatan yang sukar tetapi tidak mustahil. Kami harus berusaha," kata pengendali itu.

Selangor meraih tonik terbaik sempena kunjungan ke sana dengan kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Namun, mereka sedikit tempang susulan beberapa pemain utama masih dilanda kecederaan, antaranya dua pemain kebangsaan, Abdul Halim Saari dan Syazwan Zainon.

"Saya perlu mengenal pasti pemain yang boleh kalahkan JDT.

"Mereka belum kalah lagi dan mempunyai rekod bersih musim ini," ujarnya lagi.