Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, menekankan bahawa corak permainan Selangor haruslah didasari kudrat tempatan sambil peranan tonggak import sebagai pelengkap bagi menandingi dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT).

Setakat ini, Selangor sudah menyambar khidmat beberapa pemain berpengalaman dalam kancah Liga Super, termasuk pemain lincah Terengganu, Faiz Nasir.

Dalam masa sama, The Red Giants juga dikaitkan dengan pemain sayap Felda United, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Pada masa sama, mereka mengekalkan bakat terbaik mereka seperti pemain serba boleh, Syahmi Safari.

"Dengan mengetengahkan bakat pemain muda, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai kemenangan.

"Liga Super bukan medan untuk pendedahan pemain muda, kami harus memenangi kejuaraan.

"Untuk memenangi kejuaraan, kami perlu mempunyai pemain berpengalaman yang pernah mengharungi aksi Liga Super selama empat atau lima tahun," katanya.

Selangor tidak terburu-buru untuk mencari pemain import tetapi terdesak untuk mengekalkan khidmat penyerang berbisa, Rufino Segovia.

"Tidak masuk akal (untuk kami mengetepikan) Segovia kerana dia merupakan pemain terbaik Selangor.

"Ia terpulang kepada pengurusan, malah pemain itu sendiri.

"Kami akan membuat pengumuman sebaik sahaja urusan rundingan itu dimeterai.

"Kami memerlukan pemain sepertinya," tambah Sathianathan.

Penyokong Selangor juga akan terus didekatkan dengan pasukan ini menerusi penganjuran Hari Bola Sepak Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini.