Bukan rahsia bahawa awan mendung meliputi kem Sarawak. Di sebalik desakan agar direhatkan, jurulatih Sarawak, David Usop, malam tadi sekali lagi menelan air liur, kempunan akan kemenangan.

Semuanya kerana satu perkara -- gagal menterjemah peluang kepada gol sehingga aksi di Stadium Negeri menyaksikan Sarawak dan Kelantan terikat tanpa jaringan.

Secara realitinya, daripada segi taktikal, ramuan strategi Sarawak secukup rasa.

Malah, pasukan "lima bulan" itu berjaya menyaingi lawan yang jauh lebih tinggi rankingnya, yang memiliki rangkaian pemain berpengalaman.

Justeru, wajarlah David kelu tatkala berjalan keluar dari bangku simpanan ke bilik persalinan.

"Saya hilang kata-kata. Segala-galanya telah dilakukan tetapi bola memilih untuk tidak menerjah jaring," katanya.

Bagi David, keputusan perlawanan terakhir pusingan pertama itu seharusnya memihak kepada Sarawak.

Bola yang seharusnya bergolek ke dalam gawang, bagaimanapun, hanya menyentuh tiang serta ditepis penjaga gawang lawan.

Keluhan David ada asasnya kerana anak-anak buahnya bermain dengan cukup baik dan bertenaga.

Malah, sebanyak lapan ledakan ke arah gol berjaya dilepaskan, dengan enam tepat ke sasaran. Ia berbeza dengan anak-anak buah Zahasmi Ismail yang meledakkan empat percubaan, dengan dua ke langit. Cuma rezeki gol masih tidak kesampaian.

Buat kali pertama semalam, David tidak berselindung untuk menggantikan pemain import, sekurang-kurangnya untuk memiliki pemain penyudah yang lebih tajam.

Katanya, Sarawak tidak harus dibelit masalah ini secara berterusan.

"Jendela perpindahan yang terbuka pada bulan depan harus dimanfaatkan untuk mengelakkan skuad Ngap Sayot terus karam, terutama di laman sendiri.

"Anda sendiri lihat, deretan peluang dihasilkan, tetapi penyudah sama ada ke dakapan penjaga gol ataupun ke langit.

"Seharusnya pemain import lebih tajam dan berupaya meledakkan go, berbanding barisan penyerang muda kita," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, katanya, dia berpuas hati dengan persembahan pemain muda seperti Abdul Rahim Abdul Razak yang acap kali mencipta onar di kubu lawan.

"Saya juga berpuas hati dengan keupayaan pasukan pertahanan yang bermain mengikut perancangan iaitu 'mengunci' kelibat penyerang berbisa Kelantan, Mohamad Ghaddar."

David berkata, dia akan membuat laporan penilaian pada minggu ini, berkaitan prestasi pemain untuk dibincangkan oleh pengurusan tertinggi persatuan.

"Ia berdasarkan pemerhatian pasukan jurulatih Liga Super, selain mengemuka perancangan seterusnya untuk pusingan kedua liga. Kita juga akan menaikkan cadangan-cadangan lain termasuk menilai kedudukan para pemain import yang sedia ada.

"Pada masa yang sama, panel kejurulatihan persatuan yang diketuai Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Abdoll Wahet Uji, akan menyediakan laporan mereka sendiri," jelasnya.

Sarawak pada musim ini diwakili oleh hampir kesemua pemain asal Sarawak kecuali tempat pemain import dan satu dari Sabah dan dua dari Semenanjung.