Pengendali Sarawak, David Usop, mampu menarik nafas lega apabila memastikan pasukannya kekal dalam saingan Liga Super musim depan selepas melakar kemenangan 2-1 berdepan PDRM di Kuching.

Bagaimanapun, keputusan itu menghadirkan berita buruk buat PDRM apabila mereka terpaksa akur tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Berbelakangkan penyokong sendiri di Kuching, Sarawak lebih banyak mengasak sebaik wisel sepak mula dibunyikan.

Namun, PDRM terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Guilherme de Paula pada minit ke-25 sebelum Gilmar menyamakan kedudukan pada hujung babak pertama.

Nor Shamie Iszuan jadi wira buat skuad Bujang Senang apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-80.

"Dari separuh masa pertama lagi, kami mencipta beberapa peluang sehingga memasuki babak kedua.

"Pemain saya bermain dengan bersungguh-sungguh kerana semua pasukan mahu kekal dalam saingan Liga Super," jelas Usop.

Sementara itu, pengendali PDRM, Fauzi Pilus, mengakui keputusan itu sukar untuk diterima, namun tetap memuji perjuangan yang ditampilkan anak buahnya.

"Malam yang malang buat kami. Kami perlu terima hakikat ini.

"Senario ini tidak menggembirakan kami, bagaimanapun pemain PDRM menunjukkan permainan yang begitu baik," katanya.