Sarawak mengharapkan "magis 1997" akan menyelaputi Stadium Negeri pada Sabtu ini, ketika melayan kunjungan Pahang dalam aksi pertama Liga Super di gelanggang sendiri.

Jurulatihnya, David Usop, berkata pertemuan legenda Ngap Sayot dan skuad pilihan King of Crocs pada petang esok diharap dapat menyuntik motivasi anak-anak buahnya untuk mencipta kejayaan terhadap Pahang yang dipimpin Dollah Salleh.

Perlawanan sempena ulang tahun ke-20 Sarawak menjuarai Liga Perdana buat kali pertama, esok, bakal menyaksikan kemunculan semula nama-nama besar seperti John Hunter, David Evans, Jalil Rambli, Shamsurin Abdul Rahman, Affendi Julaihi, Ramos dan Ramles Sari.

David, bagaimanapun, mengakui anak buahnya perlu bekerja keras jika ingin menjayakan misi tiga mata.

"Ia perlawanan penting terutamanya di hadapan penonton sendiri. Mereka ini tidak akan menerima selain daripada kemenangan," katanya.

Ketika Mateo Roskam terpaksa direhatkan beberapa minggu akibat kecederaan paha, David membayangkan akan menurunkan Shreen Tambi untuk bergandingan dengan Matt Andrew Hartmann di bahagian serangan.

"Posisi Shreen di bahagian tengah pula akan diambil alih oleh Mohd Shahrol Saperi atau Abdul Rahim Abdul Razak.

"Yang lain, kami kekalkan kombinasi seperti menentang Kedah minggu lalu," katanya.

Dengan kecederaan yang tidak begitu serius, Roskam akan direhatkan bermula minggu ini dan David berharap dapat menurunkannya untuk perlawanan menentang Pulau Pinang.

"Selepas satu seri dan satu kalah di gelanggang lawan, para pemain begitu bersemangat untuk mencipta kemenangan pertama.

"Mereka juga mengharapkan magis Ngap Sayot 1997 itu benar-benar menjadi," tambahnya lagi.