Biarpun berada di tangga kedua tercorot dalam kedudukan semasa Liga Super, Sarawak masih enggan menekan butang panik.

Jurulatihnya, David Usop, berkata dia dan anak buahnya masih yakin dapat melangkah naik dalam saingan liga.

"Yang berada di atas kami ialah empat pasukan (jurang paling dekat). Felda United dan T-Team dengan sembilan mata serta PKNS FC dan Melaka United dengan lapan mata," katanya. "Jadi, masih ada ruang untuk mengejar."

Pasukan Ngap Sayot ketika ini berjaya mengumpul tujuh mata daripada lapan perlawanan.

"Kami perlu menang sekali dan seri dua kali dalam pusingan pertama yang berbaki tiga perlawanan untuk layak ke pusingan Piala Malaysia."

Sarawak kini, katanya, memberi sepenuh perhatian kepada Piala FA setelah layak ke suku akhir.

Skuad Ngap Sayot akan bertemu Terengganu di tempat lawan pada 1 April depan sebelum aksi di Stadium Negeri, tiga minggu kemudian.

Rehat tiga minggu daripada aksi Liga Super ini sekurang-kurangnya memberi ruang untuk David dan panel kejurulatihannya menstruktur semula pasukan dan melakukan 'penyejukan'.

"Ia memberi ruang untuk kami membaiki permainan dan merawat kecederaan," jelasnya.

Kata David, tumpuan kini ialah menggilap sentuhan penyudah terakhir anak-anak buahnya yang kurang tajam.

"Pemain-pemain kami masih muda kebanyakannya dan kami dalam proses pembentukan.

"Kerana itu, kami berharap mereka cepat matang dan tenang ketika berpeluang menjaringkan gol dalam aksi kompetitif."

Sejak tewas dalam perlawanan terakhir menentang Felda United, peminat mula menghujani David dengan kritikan, apatah lagi dengan kedudukan Sarawak yang disifatkan jauh terperosok.

"Saya faham dan saya hormati kritikan mereka. Mereka berbuat demikian kerana mereka sayang akan skuad ini dan mereka berbelanja untuk menikmati kemenangan," katanya.

Bagaimanapun, sebagai jurulatih, David berpuas hati dengan perkembangan pasukan, terutama barisan pemain muda.

"Mereka meningkat setiap kali perlawanan dan memanfaatkan peluang yang diberi.

"Walaupun keputusan tidak memihak kami, hakikatnya pemain Sarawak tidak jauh dengan pasukan lain biarpun pasukan yang berada di tangga teratas.

"Tidak adil untuk kami mengharapkan kejayaan segera untuk pasukan ini, yang hanya dibentuk kurang lima bulan lalu, berbanding pasukan lain yang telah bertahun-tahun bersama."

Katanya, pasukan perlu diberi peluang membina keserasian dan kematangan sebelum mereka dapat mencipta kejayaan yang disasarkan.