Usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari, mengenai status penjaga gol, Sani Anuar Kamsani, yang direhatkan, gagal selepas dia enggan mengulas perkara itu.

Sebaliknya, Zairil menegaskan tindakan merehatkan Sani tidak ada kena-mengena dengan dakwaan penjaga gol itu terlibat mengatur perlawanan ketika bertemu Pahang pada 18 Februari lalu.

Dalam perlawanan di Stadium Darulmakmur itu, Pulau Pinang tumpas 6-1 kepada Pahang.

Kelmarin, FAP mengeluarkan satu kenyataan dalam media sosial dan laman web rasmi mereka, menjelaskan Sani dipanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin FAP ekoran berlaku salah faham di antara dirinya dan jurulatih, Ashley Westwood, di dalam bilik persalinan selepas pertemuan dengan Pahang.

"Jawatankuasa Disiplin FAP telah memanggil Sani untuk memberi penjelasan mengenai insiden salah faham di dalam bilik persalinan pasukan selepas perlawanan bertemu Pahang tempoh hari sepertimana yang dilaporkan Westwood kepada pihak pengurusan," kata kenyataan itu.

"Oleh yang demikian, pihak pengurusan memberi ruang kepada Sani untuk menjelaskan situasi yang berlaku untuk dinilai dan diperhalusi oleh Jawatankuasa Disiplin FAP. Pihak persatuan sentiasa telus dalam melindungi setiap individu yang terikat dengan kontrak bersama persatuan.

"Justeru, FAP menegaskan tiada unsur 'tuduhan menjual perlawanan' yang dibangkitkan ketika Jawatankuasa Disiplin bersidang pada Isnin."