Walaupun menganggap ia satu tugas berat, pengurus Sang Badak, Adlane Messelem, tetap yakin anak buahnya mampu memberi saingan sengit kepada Negeri Sembilan dalam aksi pembukaan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

"Negeri Sembilan salah sebuah pasukan yang kuat dalam saingan liga musim ini manakala pemain kami pula kebanyakannya masih muda serta kurang pengalaman. Bagaimanapun, semangat mereka cukup tinggi.

"Saya lihat setiap pemain kini 'dahagakan' kejayaan. Apa yang penting sekarang ialah mereka perlu fokus kepada perlawanan itu dan membawa keputusan baik untuk pasukan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Messelem berkata beliau mahu barisan pemain yang akan diturunkan nanti menganggap perlawanan bertemu akuad Hoben Jang Hoben itu seperti perlawanan akhir dengan memberikan aksi terbaik.

"Setiap pemain kini fokus untuk mencapai sasaran mereka, iaitu tidak menyesal di akhir musim nanti. Bagi saya, setiap perlawanan pada musim ini adalah final dan pemain perlu bermain sehabis baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sang Badak bakal kehilangan penyerang import mereka, Sofiane Choubani, untuk perlawanan malam ini akibat kecederaan ibu jari kakinya.

"Ketiadaan Sofiane memang sedikit menjejaskan persiapan kami. Bagaimanapun, kami masih ada pemain simpanan yang mampu menggantikan tempatnya.

"Seperti saya katakan sebelum ini, setiap pemain kini saling bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama. Kita akan lihat nanti siapa yang akan menggantikan tempat Sofiane," katanya.