Pertahanan Felda United, Safwan Hashim, mahu membalas kepercayaan pengendali pasukan, B. Sathianathan, dengan membantu The Fighters memenangi perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini untuk mencerahkan peluang pasukannya muncul tiga pasukan teratas musim ini.

Safwan merupakan antara muka baru yang direkrut skuad Felda ketika jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia, Jun lalu.

Beraksi di posisi pertahanan kanan, bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berjaya menyerlahkan kelebihannya untuk membarisi kesebelasan utama pasukan dan Safwan sekali lagi ditagih untuk mengemudi benteng The Fighters dalam pertemuan berdepan JDT.

“Saya akan menggunakan kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih untuk membantu pasukan.

“Semangat dalam pasukan kini semakin baik selepas menewaskan PKNP FC dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia. Saya percaya semangat itu akan membantu kami ketika menentang JDT,” katanya.

Meskipun tidak beraksi ketika skuad Felda tewas 1-3 di tempat lawan pada Januari lalu, dia optimis pasukannya mampu menghadirkan tentangan hebat kali ini.

Skuad Felda kini berpeluang melonjak ke tangga ketiga liga susulan kekalahan Kedah kepada Sarawak, malam tadi, namun dengan syarat perlu melunaskan misi tiga mata di Stadium Shah Alam.