Penyerang PKNS FC, Safee Sali, mengakui kegagalan menyudahkan peluang gol ketika berdepan Sarawak tidak boleh diulangi apabila berdepan Pahang dalam aksi Liga Super di Kuantan, malam ini.

Bagi Safee, kekalahan 3-2 di tangan Sarawak adalah pengajaran buat dirinya dan rakan sepasukan untuk segera bangkit berdepan Pahang.

Safee bertekad untuk menebus kehampaan berdepan Sarawak dengan memastikan PKNS membawa pulang keputusan positif dari Kuantan.

"Berdasarkan perlawanan lepas, saya telah gagal menjaringkan gol, ia merupakan satu pengajaran buat kami untuk memperbaiki permainan dan cuba mendapatkan tiga mata penuh ketika berdepan Pahang," katnya.

Turut bertekad bangkit berdepan Pahang ialah tonggak pertahanan PKNS, Amirridzwan Taj Tajuddin.

Bagi bekas pertahanan ATM dan Kelantan ini, dia dan rakan di posisi pertahanan perlu lebih berdisiplin menangani jentera serangan Pahang.

"Kami masih lagi mengikut arahan yang diberikan oleh jurulatih, kami akan meneruskan perkara ini dan mengekang asakan pasukan lawan," ujar Amirridzwan.