Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menganggap pertambahan dua pemain Petaling Jaya City FC, Safee Sali dan Sergio Filho, sebagai senjata sulit yang mampu mencetus bahaya terhadap pasukannya dalam pertemuan Liga Super di Stadium MBPJ, malam ini.

Aidil turun ke Lembah Klang bagi menyaksikan sendiri pertembungan membabitkan PJ City FC dengan Selangor yang berkesudahan 1-1 minggu lalu.

Namun, kemasukan Safee dan Sergio diakui Aidil mampu mengubah prestasi pasukan itu berbanding sebelum ini.

Dia menjangkakan skuad kendalian K. Devan itu jauh lebih sempurna menjelang aksi pertama kedua-dua pemain itu malam ini.

"Mereka pasti sedang bermotivasi tinggi kerana memperoleh pemain yang diidam-idamkan.

"Kami akan mempersiapkan pasukan seperti biasa dan sentiasa fokus selama 90 minit," katanya.

Bagaimanapun, kekuatan sebenar PJ City FC masih menjadi tanda tanya.

Apa yang akan membezakan keputusan dalam perlawanan itu adalah kemampuan anak buahnya untuk merealisasikan kutipan mata dalam setiap perlawanan.

"Mereka amat kompak sewaktu menyerang dan bertahan.

"PJ City pasti akan menyukarkan pasukan-pasukan lain musim ini," tambahnya.