Rosmadi: Kelantan tekad tarik diri daripada Liga M musim ini

By Shaiful Shamsudin 5 January 2017 166
Rosmadi: Kelantan tekad tarik diri daripada Liga M musim ini
Kecewa dengan Kerajaan Negeri Kelantan yang masih belum memberi sebarang jawapan dalam usaha mengatasi krisis kewangannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)  bertekad untuk menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga M) musim ini selaras dengan keputusan kongres luar biasanya baru-baru ini.

Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail, berkata pihaknya kecewa dengan kegagalan Kerajaan Negeri Kelantan memberi sebarang jawapan rasmi terhadap permohonan KAFA bagi membolehkan The Red Warriors (TRW) beraksi dalam Liga M musim ini.

“Kami masih belum menerima sebarang keputusan rasmi daripada kerajaan negeri untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi sekarang. Cuma, melalui media massa (akhbar dan laman sosial) kita baca mereka (kerajaan negeri) menolak empat daripada lima permohonan yang dikemukakan.

“Selaras dengan tarikh akhir yang diberikan hari ini, KAFA melalui usul yang dibuat oleh Kongres Luar Biasa baru-baru ini kekal dengan keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga M musim ini,” katanya.

Namun, dalam perkembangan terbaharu, Rosmadi juga menjelaskan KAFA akan mengadakan pertemuan rasmi dengan bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, malam ini  untuk membincangan masa depan dan perkembangan skuad TRW sebelum tarikh akhir pendaftaran minimum 20 pemain yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), esok. 

“Kami (Exco KAFA) akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Tan Sri selaku bekas presiden untuk menjelaskan apa perkembangan terbaharu TRW ekoran daripada tiadanya jawapan rasmi terhadap permohonan KAFA.

“Kami juga berharap akan mendapat ‘talian hayat’ daripada beliau untuk memastikan Kelantan kekal bersaing dalam saingan Liga M musim ini. Doakan kejayaan kami malam ini,”katanya dalam sidang media di sebuah hotel, petang tadi.

Turut sama hadir dalam sidang media itu Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, dan ketua jurulatih, Zahasmi Ismail.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment