Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, mengesahkan kedudukan barisan jurulatih dan pemain Red Giants akan diputuskan selepas aksi terakhir pasukan itu dalam Piala Malaysia dengan kemungkinan berlakunya rombakan besar-besaran.

Tumpuan Selangor kini hanya terarah kepada masa depan jurulatih dan barisan pemain susulan kegagalan melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Tatkala kedudukan Nazliazmi Nasir selaku jurulatih hampir pasti digantikan oleh Mehmet Durakovic, nasib beberapa pemain utama termasuk pemain import pasukan itu juga tampak goyah.

Namun, sebarang keputusan mengenai masa depan mereka hanya akan diputuskan dalam mesyuarat exco FAS yang dijadualkan pertengahan bulan ini.

"Kami sudah pun menghantar notis untuk menganjurkan mesyuarat jawatankuasa beberapa hari selepas perlawanan terakhir Piala Malaysia untuk melihat laporan mengenai pemain dan pegawai.

"Keputusan akan diambil berdasarkan laporan yang diberikan oleh jawatankuasa teknikal kelak," ujarnya.

Terdahulu, Johan yang juga ketua pegawai eksekutif Selangor Youth Community (SAY) menyempurnakan majlis undian Kejohanan Liga Juara-Juara Selangor (SCL) 2018 di Petaling Jaya, hari ini.

Memasuki edisi ketiga, kejohanan yang menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik liga sosial di Lembah Klang itu bukan sahaja menawarkan hadiah lumayan, malah menjadi medan untuk mengesan bakat yang boleh diserapkan ke skuad utama Selangor.

"Perkara ini antara yang dibincangkan semasa mesyuarat exco baru-baru ini.

"SCL akan dijadikan platform untuk memantau bakat-bakat yang mungkin kami terlepas pandang selama ini.

"Juara SCL turut ditawarkan RM30,000 dan slot Piala FA pada tahun depan, " katanya lagi.