Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, mengalu-alukan kehadiran penaja utama bagi mengatur segera sistem kewangan persatuan itu yang masih belum stabil.

Menurut Bibi, hingga ke saat ini mereka masih menggunakan dana peribadi untuk pembayaran gaji pemain ekoran masih belum mendapat sebarang dana yang mencukupi.

Dalam masa yang sama, katanya, sasaran minimum perbelanjaan bagi musim 2018 sebanyak RM10 juta hanya mencecah separuh dan hal itu sedikit-sebanyak menyumbang kepada situasi genting KAFA.

"Bila penaja tidak dapat menampung keperluan KAFA, sampai sekarang ini pun pembayaran gaji dan sebagainya, kami masih menggunakan daripada sumber peribadi," katanya.

Kelantan masih lagi mencari-cari sumber utama penajaan walaupun penetapan RM10 juta dilihat cukup rendah untuk pasukan berstatus Liga Super.

Ketika ini, Kelantan baru sahaja menerima penajaan lima syarikat, iaitu Rohm-Wako, Yakult, Konsortium E-Mutiara dan aL-ikhsaN yang perkenalkan hari ini.

"Kehadiran aL-ikhsaN sudah meringankan beban saya, begitu juga dengan kehadiran Yakult, Rohm-Wako, saya berterima kasih banyak.

"Rekod penjaaan sebelum ini, mereka menepati janji dan tidak mensia-siakan harapan KAFA," tambahnya.