Pemain pertahanan, Razman Roslan, menggesa gaji bulan November dan bonus Piala Malaysia ditunaikan segera oleh pengurusan pasukan Selangor dan meminta perkara ini mendapat tindakan drastik presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Sekian lama menabur janji, hingga kini perkara itu belum tertunai dan perkara ini hanya dipandang sepi pihak yang bertanggungjawab sebelum ini.

Jelas sekali, gaji November yang diuruskan bekas pengurus Selangor, Aminuddin Shaari, masih belum dibayar kepada pemain dan juga barisan kejurulatihan Selangor selain janji bonus beraksi di pentas akhir Piala Malaysia nampaknya makin samar.

Seiring dengan masalah dalaman dihadapi pengurusan Selangor, pembayaran gaji dan bonus turut tertunggak walaupun hanya beberapa hari lagi akan memasuki tahun baru.

"Kerajaan negeri seharusnya bersikap profesional. Jangan libatkan permainan pasukan dengan masalah dalaman di antara kerajaan negeri dan FAS. Saya harap mereka dapat tunai dan langsaikan hutang mereka kepada pemain.

"Kami meminta hak kami, itu sahaja tidak lebih," katanya.

Tegas Razman, hanya disebabkan pihak pengurusan yang tidak sehaluan, jangan pemain pula yang menjadi mangsa.

"Jangan libatkan masalah mereka (pihak pengurusan) kerana kami sebagai pemain tidak mahu masuk campur.

"Kalau suami isteri bergaduh, tak akanlah sampai anak tak makan. Ibaratnya macam itulah."