Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Ramlan Askolani, menyelar sikap persatuan itu berhubung isu tunggakan gaji pemain The City Boys apabila menyifatkan pendekatan yang diambil dalam menangani kemelut itu sebagai tidak masuk akal.

KLFA mengalami masalah tunggakan gaji pemain selama sebulan hingga dua bulan yang dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Bagaimanapun, KLFA tampak mengambil pendekatan pelik walaupun perlu segera menyelesaikan masalah itu bagi mengelak geran tahunan disekat.

Ia dilihat apabila persatuan itu menangguhkan pembayaran tersebut dengan alasan barisan kepimpinan KLFA masih samar ekoran isu pemilihan kongres ke-31.

"Kalau kata kongres ini melibatkan isu tidak mampu membayar gaji, bagi saya tidak logik kerana mereka juga sepatutnya boleh mentadbir dan mendapatkan tenaga import walaupun masih belum melunaskan pembayaran," kata Ramlan.

"Dua bulan gaji tidak boleh bayar, bagaimana ingin mentadbir selama empat tahun? Saya rasa nanti akan jadi masalah kepada KLFA."

Bekas pemain Kuala Lumpur itu juga tidak berpuas hati dengan pencalonan presiden bagi pemilihan kongres KLFA penggal 2018-2022 sebelum ini.

Pihaknya selaku pengadu kini menunggu keputusan Pesuruhjaya Sukan PJS selepas mengemukakan jawapan balas berhubung 13 aduan hari ini.

"Kalau ditakdirkan kami berjaya, kami telah bersedia daripada semua sudut. Bagi kami, untuk mentadbir bola sepak, dalam situasi sekarang, kami memerlukan individu yang boleh bertanggungjawab dan bagi saya, calon ini memang tepat. Saya sudah teliti proses-proses itu."