Kegagalan mempertahankan dua gol dalam separuh masa pertama nyata mengecewakan ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, yang terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 dengan PKNS di Kuala Terengganu, malam tadi.

“Selepas mendahului dua gol, beberapa pemain mengalami kecederaan yang memaksa saya membuat pertukaran.

“Kemudian, pasukan lawan mengubah taktikal dengan membuat banyak hantaran jauh ke dalam kotak penalti dan kami gagal menangani situasi itu.

“Keputusan ini mengecewakan kerana kami tidak sepatutnya seri. Namun, secara keseluruhan, ada peningkatan terutama persefahaman Farhod (Tadjiyev) dan (Mamadou) Samassa,” ujarnya.

Gerakan yang dimulakan Mohd Fakhrurazi Musa pada minit kesembilan berjaya menemui Samassa sebelum disudahkan Farhod untuk gol pendahuluan T-Team.

Pasukan pelawat cuba bangkit yang menyaksikan percubaan Bobby Gonzales (m-34) sekadar singgah di palang gol T-Team manakala sepakan Matias Hadwa enam minit kemudian terkena tiang.

Ketika babak pertama menghampiri penamat, Farhod menggandakan jaringan dengan menolak masuk bola muntah selepas hantaran Mohd Nor Hakim Hassan gagal ditangkap kemas penjaga gol PKNS, Muhammad Zamir Selamat.

PKNS merapatkan jurang melalui jaringan pemain gantian, Mohd Khairul Ramadhan, yang menerima umpanan Hadwa pada minit ke-78.

Hadwa, pemain import dari Palestin, terus memainkan peranan penting selepas lontaran ke dalamnya memerangkap penjaga gol T-Team, Mohd Izzuddin Hussin, sebelum Samassa tertampan bola masuk ke gawangnya sendiri pada minit ke-90.

Gol penyamaan itu nyata melegakan pengendali PKNS, E. Elavarasan, yang berpuas hati dengan kejayaan mencuri satu mata di gelanggang lawan.

“Dalam 45 minit pertama, kami bolos dengan dua gol mudah dan kemasukan Safee Sali dalam separuh masa kedua berjaya menukar rentak kami menjadi lebih agresif hingga membawa kepada dua gol penyamaan.

“Untuk mendapat satu mata di sini adalah sesuatu yang baik kerana kami bangkit daripada ketinggalan 0-2 pada babak pertama,” katanya.