Pertahanan Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil, enggan memikirkan tawaran daripada kelab lain buat masa ini kerana ingin fokus terlebih dahulu kepada aksi Liga Super berdepan Pulau Pinang, 24 Mei ini.

Qayyum tidak menafikan ada menerima tawaran daripada kelab lain menjelang jendela perpindahan pemain selama sebulan yang berakhir pada 16 Jun ini.

Bintang muda Kelantan itu, yang dikhabarkan telah dirisik oleh pasukan Felda United, bagaimanapun mahu menghormati kontraknya yang berakhir pada penghujung tahun ini dan menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan.

Ditanya adakah dia berminat, pemain berusia 23 tahun ini enggan mengulas lanjut kerana menyifatkan aksi Liga Super berdepan Pulau Pinang 24 Mei lebih penting.

"Saya bermain mengikut kontrak yang bakal tamat pada penghujung musim ini, selepas itu saya akan melihat kepada destinasi seterusnya," kata Qayyum.

Kelantan berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah di tempat lawan setakat ini.

Meskipun enam mata telah dipotong meletakkan mereka di tangga ketujuh, Qayyum percaya Kelantan mampu bangkit dalam memastikan kedudukan selesa dalam carta liga.

"Pengendali pasukan menasihatkan kepada kami supaya tidak memberikan tumpuan kepada isu di luar padang, sebaliknya membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya."