Pertahanan kental skuad Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil, lega dapat menyahut cabaran ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Zahasmi Ismail, supaya benteng tidak melepaskan gol awal ketika menentang Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Sabtu lalu.

Jelas Qayyum, semua pemain telah diingatkan oleh Zahasmi agar tidak hilang fokus dan mengelakkan kesilapan yang boleh memberi tekanan kepada pasukan.

“Alhamdulillah, biarpun Felda United berjaya menjaringkan gol pendahuluan minit ke-24, pertahanan Kelantan tetap fokus untuk mematahkan setiap serangan yang dilancarkan selepas itu.

“Kami juga berjaya mencari gol penyamaan seminit kemudian dan seterusnya memberi saingan yang kuat kepada mereka, terutama dalam babak kedua,” katanya.

Qayyum yang juga bekas ketua pasukan Piala Presiden Kelantan mengakui satu mata yang dikutip cukup berharga dan memberi kekuatan tambahan kepada seluruh pemain Kelantan untuk terus berjuang dalam Liga Super musim depan.

“Satu mata dan berjaya memberikan aksi terbaik di depan penyokong sendiri adalah bonus tambahan kepada perjuangan TRW untuk beraksi dalam Liga Super musim depan. Ada tiga lagi perlawanan yang cukup mencabar dan kami yakin mampu kekal,” katanya.

Ditanya mengapa tampil dengan imej ‘botak’, Qayyum menjelaskan keputusan itu dilakukan bagi membayar nazar dirinya dan bersyukur tidak mendapat sebarang kecederaan serius musim ini.

“Syukur kepada Allah atas nikmat kesihatan yang diberikan kepada saya sepanjang tahun ini. Saya bernazar akan membotakkan kepala jika tidak mendapat sebarang kecederaan serius sepanjang aksi bersama TRW,” katanya.