Ketika pasukan lain rancak mempersiapkan pasukan menerusi tajaan besar dan pemain bintang, Pulau Pinang masih belum ada bayangan skuad sebenar bagi menghadapi musim baru.

Hanya 18 hari menjelang sepak mula saingan Liga Super 2017, skuad Pulau Pinang masih belum melengkapkan senarai pemain, termasuk tonggak import, hingga skuad Harimau Kumbang terpaksa menangguhkan majlis memperkenalkan pasukan pada 28 Disember lalu.

Apakah pengurusan Pulau Pinang sedang berdepan masalah?

"Kami tidak berdepan sebarang masalah, kami hanya membuat persiapan mengikut rentak kami.

"Pemain-pemain tempatan hampir kesemuanya sudah menandatangani kontrak manakala pemain-pemain import sudah dikenal pasti dan sedang berunding," ujar pengurus Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Dalam pada itu, pemain Pulau Pinang, Rafiudin Roddin, berkata mereka mampu menampilkan aksi garang menjelang pembukaan musim 2017.

"Kami sedang giat menjalani latihan dan jika tiada halangan, kami akan mengadakan perlawanan persahabatan minggu hadapan.

"Saya yakin semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pada 21 Januari ini," katanya.