Penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan Hashimuddin, menganggap pasukannya masih memegang status bukan pilihan walaupun garang membenam Selangor 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin.

Zarif berjaya memastikan gawang yang dikawalnya tidak dibolosi ketika aksi setempat Lembah Klang di antara Selangor dan PKNS dan penjaga gol berusia 23 tahun itu mengakui dia menyasarkan untuk meraih catatan pertama musim ini tanpa melepaskan gol ketika bertandang ke Shah Alam.

"Setiap kali saya bermain atau sesiapa sahaja, pasti mahu memastikan gawang tidak dibolosi. Saya memang mencari catatan yang pertama musim ini," katanya.

Dalam masa sama, Zarif menegaskan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu tetap bukan pilihan dalam liga sambil mengingatkan bahawa kemenangan itu diraih kerana masing-masing mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pengendali pasukan.

"Bagi kami, PKNS tetap bukan pilihan. Apa yang kami lakukan adalah cuba ikut arahan jurulatih dan menjalankan tugas sama seperti ketika sesi latihan."