PKNS FC mengikat Sabah 2-2 dalam aksi persahabatan pra-musim di Stadium Likas, malam ini.

PKNS terlebih dulu mendahului tuan rumah hasil jaringan Lucas Espindola pada minit ke-27 hasil rembatan dari dalam kotak penalti.

Jonathan Behe kemudian menceriakan penyokong Sabah menerusi jaringan penyamaannya pada minit ke-33 selepas melakukan gerakan solo yang berjaya menewaskan tiga pertahanan pelawat.

Pasukan yang terkenal dengan jolokan Sabah Rhinos itu kemudian mendahului PKNS pada minit ke-45 hasil jaringan Rahman Shah Marajeh selepas menerima hantaran sepakan percuma Masaya Jitzono dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula separuh masa pertama, Sabah terus garang memburu gol, namun kecuaian di bahagian pertahanan menyaksikan penyerang kebangsaan, Safee Sali, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Kedua-dua pasukan kemudian saling menyerang untuk mencari gol tetapi hujan lebat kira-kira 20 minit sebelum permainan tamat menjejaskan sedikit rentak mereka.

Kedudukan 2-2 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, S Sitaranjan, meniupkan wisel penamat.

Perlawanan itu adalah ujian terakhir Sang Badak sebelum menghadapi saingan sebenar Liga Perdana pada 20 Januari ini.