Menjelang perlawanan pertama Liga Super di antara Felda United dan PKNS FC, jurulatihnya, E. Elavarasan, masih mengintai pemain sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan perancang import musim lalu, Gabriel Guerra, yang berpindah ke JDT II.

Guerra sememangnya memainkan peranan penting dalam menjana serangan pasukan PKNS untuk musim lalu dan ketiadaannya musim ini amat dirasai kerana Elavarasan masih belum menemui pemain yang mampu mengisi kekosongan itu.

"Kami kini memberi tumpuan di bahagian tengah. Apabila Gabby dah keluar, memang ada kekosongan di bahagian itu.

"Kami sudah ada calon penggantinya tapi belum mendapat keserasian lagi.

"Bekas pemain Harimau Muda seperti S. Sivanesan dan Affize Faisal mampu mengisi tempat itu," ujarnya.

Sehubungan itu, perlawanan pertama menentang Felda akan menjadi penilaian buat Elavarasan dalam menentukan pemain yang mampu menggalas tugas sebagai nadi skuad Semut Merah.

Untuk musim ini juga, Elavarasan gembira apabila mendapat kembali penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh, yang dipinjamkan ke Selangor musim lalu.

Patrick dijangka membentuk gandingan mantap bersama seorang lagi pemain import, Matias Hadwa, serta penyerang tempatan, Safee Sali.

"Kalau di hari yang baik, Patrick adalah penyerang berbisa untuk mana-mana pasukan.

"Permainannya ada turun naik tapi secara keseluruhannya semasa beraksi bersama PKNS, dia juga ada menjaringkan gol-gol menarik.

"Saya berasakan aksinya pada tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lepas."