Bintang PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi, hampir pasti menyertai sebuah pasukan gergasi Liga Super pada musim depan selepas mendapat tawaran rasmi daripada kelab itu.

Bagaimanapun, PKNP masih belum mahu mendedahkan identiti kelab itu, seperti yang dimaklumkan pengurus PKNP, Mohd Arfrenddy Arasad.

Menurut Arfrenddy, mesin gol bagi kelab yang berpangkalan di Perak itu dirisik lima pasukan Liga Super, namun hanya satu pasukan yang menghantar tawaran rasmi.

Mengakui ia merupakan satu tawaran berharga, dia tidak menolak Shahrel akan menyertai pasukan terbabit, musim depan.

"Kami tidak akan menghalangnya kerana adalah menjadi objektif PKNP untuk melahirkan bintang bola sepak.

"Ia pencapaian oleh PKNP apabila Shahrel mendapat tawaran daripada pasukan Liga Super. Jadi, PKNP tidak mempunyai masalah untuk melepaskannya," katanya.

Pasukan yang sempat dikaitkan berminat mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu merupakan juara Piala Malaysia dan Liga Super 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kelibat Shahrel musim ini nyata mencuri tumpuan peminat setelah dia berjaya menghasilkan 20 gol dalam semua pertandingan Liga Malaysia (Liga M), dengan 11 daripadanya hadir dalam aksi Liga Perdana.

Aksi cemerlangnya turut memikat jurulatih negara, Nelo Vingada, namun tidak disenaraikan untuk pertemuan menentang Korea Utara gara-gara kecederaan paha.