Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam, menegaskan PKNP FC wajar diberi pertimbangan untuk beraksi di Stadium Perak selepas mengesahkan perlawanan membabitkan pasukan itu dalam tempoh sebulan ini terpaksa diadakan di venue lain.

PKNP FC menerima tamparan apabila gelanggang tuan rumah mereka musim ini, Stadium Negeri Batu Kawan, tidak dapat digunakan selama sebulan.

Ia susulan lampu limpah stadium berkenaan mengalami kerosakan sebelum sepak mula perlawanan berdepan Selangor, Rabu lalu.

Insiden itu sedikit-sebanyak menjejaskan penjadualan liga, terutama kepada pasukan berkenaan, yang sememangnya tidak mempunyai gelanggang rasmi sebagai tuan rumah.

"Perlawanan yang berkaitan ketika lampu limpah ini tidak dapat digunakan terpaksa dilangsungkan di venue lain.

"Difahamkan pihak PKNP akan mendapatkan satu stadium di Ipoh sebagai alternatif kepada Stadium Batu Kawan. Kami akan memastikan PKNP mendapat bantuan secukupnya," kata Kevin.

Ini bermakna dua perlawanan PKNP FC di laman sendiri menentang Pahang pada 2 Jun dan Terengganu pada 5 Jun akan diadakan di venue lain dengan Stadium Perak sebagai alternatif terbaik.

Kevin turut memberi pengesahan status perlawanan PKNP menentang Selangor tempoh hari diberi pelepasan untuk ditunda ke tarikh lain di samping perlawanan membabitkan Pulau Pinang esok.