Kapten T-Team, Hasbullah Awang, mengingatkan rakan sepasukan untuk sentiasa mengawal pergerakan tonggak utama PKNS FC, Safee Sali dan Patrick Ronaldinho, dalam pertemuan Liga Super malam esok.

Selepas mengharungi empat perlawanan dengan dua kemenangan, pemain berusia 34 tahun itu menganggap T-Team kini sudah berada di landasan sebenar untuk terus garang mengumpul mata.

Salah satunya adalah dengan menyekat kemaraan skuad PKNS untuk memastikan tiga mata menjadi milik The Titans selaku tuan rumah di mana Hasbullah tetap berpandangan Safee dan Patrick adalah duri dalam daging yang mampu meleburkan hasrat pasukannya.

Tidak banyak perubahan bakal dilakukan oleh pengendali, Rahmad Darmawan, selain hanya mengekalkan momentum kemenangan sewaktu aksi berdepan Melaka tempoh hari.

"Kami belum bertemu dengan PKNS, jadi kami perlu berhati-hati dengan mereka. Ini kerana mereka memiliki ramai pemain yang bagus, antaranya Safee dan Patrick," kata Hasbullah.

Tambahnya, adalah penting untuk pasukannya meraih gol terlebih dahulu dan perlu lebih garang di bahagian pertahanan tanpa memberi ruang kepada skuad lawan membalas gol.

"Kami menjangkakan perlawanan yang sengit meskipun beraksi di laman sendiri tetapi lawan kami bukan calang-calang pasukan," tambahnya.