Perak mengikat pemain kelahiran Newcastle, England, Robert Cornthwaite, untuk melengkapkan kuota importnya bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Cornthwaite, 33, adalah ketua pasukan Western Sydney Wanderers FC dalam Liga-A dan pernah menyarung jersi Selangor pada 2015-2016.

Menurut ketua jurulatih The Bos Gaurus (TBG), Mehmet Durakovic, dengan kehadiran pertahanan tengah ini, dia yakin Perak kini sudah lengkap dan lebih bersedia untuk musim 2018.

"Memang saya memerlukan pemain posisi pertahanan yang mantap di bahagian tengah. Hadirnya dia (Cornthwaite) tepat pada masanya.

"Saya gembira dia mahu menerima lamaran saya untuk bersama Perak. Kini pasukan lebih fokus, lebih yakin dan bersedia untuk perlawanan pertama 4 Februari ini," ujar Durakovic.

Cornthwaite akan mengemudi benteng pertahanan TBG bersama Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim dan Idris Ahmad.