Beberapa faktor dikenal pasti menjadi punca pemain senior tempatan disisihkan awal oleh kebanyakkan pasukan.

Antaranya, tuntutan gaji terlalu tinggi, kecederaan dan prestasi semasa, namun dalam konteks sains sukan, ia memberi penjelasan berbeza.

Di Malaysia, tidak ramai pemain tempatan yang mampu bertahan lama dan boleh dikira dengan jari.

Shukor Adan mungkin satu-satunya pemain yang masih kekal sehingga kini apabila anak jati Melaka itu akan beraksi pada usia 38 tahun di dalam kancah liga utama tahun ini.

"Zaman sekarang bukan lagi zaman tunggu bola dan menunggu rakan memberi umpanan untuk kita.

"Zaman sekarang ini, orang nak melihat kesemua 11 pemain di atas padang bekerja keras, bermula daripada penyerang, pemain tengah dan pertahanan.

"Dulu tugas penyerang adalah memegang bola dan menunggu di bahagian atas padang.

"Tapi pada hari ini kita dapat lihat penyerang sudah mula melakukan tugas sehingga ke bahagian pertahanan.

"Mungkin faktor umur ini untuk jurulatih sekadar melihat kepada pemain senior. Tetapi bagi saya, itu bukan masalah sebenarnya.

"Kalau kita beri komitmen dalam latihan dan setiap perlawanan, kita boleh atasi pemain-pemain muda dengan pengalaman yang ada," ujar ketua pasukan Felda United itu.

Apa pun, pemain perlu menyediakan pelan 'B', seandainya tidak mampu bersaing untuk meneruskan karier masing-masing.

Antaranya, menyertai kursus kejurulatihan awalan yang dilihat sebagai platform terbaik untuk mereka terus bergerak aktif dalam bola sepak.

"Tujuan objektif kita menyediakan kursus tersebut adalah sebagai persediaan pemain selepas bersara.

"Dengan adanya pengetahuan mereka tentang kejurulatihan, sedikit-sebanyak mereka boleh menguasai pemahaman latihan dan taktikal yang diterapkan jurulatih," kata Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya.

"Ini salah satu langkah terbaik. Selepas bersara, minat itu tetap ada dalam bola sepak.

"Dengan kemahiran yang kami ada, adalah diharapkan kami dapat membantu pemain-pemain muda," ujar bekas pemain kebangsaan, Rudie Ramli.