Penolong Bendahari, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Ariffin Abdul Hamid, memohon peminat bersabar dengan langkah perubahan yang akan diambil Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, terutama dalam soal penswastaan dan pembaikan infrastruktur pasukan.

Raja Muda Selangor telah mengadakan pertemuan dengan seluruh exco FAS baru-baru ini selepas bperkenan menerima pelantikan selaku presiden.

Tidak mendedahkan secara terperinci butiran perbincangan, Ariffin memberikan bayangan antara perkara awal mahu dilakukan ialah mengembalikan Stadium Shah Alam kepada Selangor.

Selain itu, tempat latihan pasukan Selangor di Padang SUK kemungkinan akan dinaik taraf ke tahap lebih baik seiring dengan keperluan pasukan profesional.

"Saya memiliki bayangan tahun depan Selangor akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam dan kembali berlatih di Padang SUK," kata Ariffin.

Mengenai soal penswastaan pasukan, Ariffin mahu perkara itu diputuskan sendiri Raja Muda Selangor selepas mengambil alih tampuk kepimpinan secara rasmi pada 3 Julai nanti.

"Kami akan mengkaji secara teliti daripada setiap sudut mengenai penswastaan kelab ini."