Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menganggap kutipan mata menjelang aksi dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai bonus tatkala dua aksi malam ini diibaratkan sebagai tiada tekanan oleh kedua-dua pasukan.

Kedudukan PKNP dalam saingan Liga Super musim depan sudah pun dipastikan.

Situasi itu menjadikan pertemuan dengan JDT tidak akan berlangsung dalam keadaan sukar, apatah lagi skuad Harimau Selatan itu masih segar dengan kejayaan mereka menjulang trofi Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Bagaimanapun, Abu Bakar menganggap anak buahnya mampu menyumbang bonus untuk PKNP jika berjaya mencuri mata di Stadium Perak.

"Di atas kertas, kami sedar jurang di antara PKNP dan JDT memang jauh.

"Tetapi, saya menggesa pemain supaya mengambil kesempatan di tempat sendiri ini sebaik mungkin kerana JDT akan turun tanpa tekanan," katanya.

Selebihnya, Abu Bakar melihat dua baki perlawanan yang tinggal sebagai peluang untuknya menurunkan pemain yang jarang beraksi sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Malaysia nanti.

"Ini senario yang bagus kerana saya dapat menurunkan pemain yang kurang beraksi dan baru kembali daripada kecederaan," katanya lagi.

Satu lagi pertemuan Liga Super malam ini melibatkan Terengganu dan Kelantan di Kuala Terengganu.