Pahang meneruskan tekanan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi perebutan takhta Liga Super selepas menundukkan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Senario sebelum sepak mula menyaksikan Pahang ketinggalan empat mata kepada JDT yang sudah mengharungi aksi kesembilan, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, aspirasi skuad Semut Merah itu untuk mencabar kelompok empat terbaik menawarkan latar belakang menarik kepada pertembungan itu.

Sentimen berkenaan dibuktikan dengan jaringan pertama perlawanan menerusi serangan balas PKNS yang disempurnakan Chan Vathanaka pada minit ke-13.

Kegagalan benteng tuan rumah untuk mengekang ayam tambatan Tok Gajah, Dickson Nwakaeme, mengundang padah apabila dia menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Babak kedua menyaksikan Pahang menggunakan kelincahan pemain sayap untuk hantaran-hantaran berbahaya.

Selepas beberapa percubaan, Tok Gajah berhasil dalam pemburuan gol kedua apabila Ze Eduardo menyumbat masuk jaringan pada minit ke-76 yang memadai buat Pahang pulang dengan tiga mata.

"Saya fikir kami mencipta beberapa peluang, terutama menerusi serangan balas. Seandainya kami dapat menyumbat gol kedua sebelum Pahang menyamakan kedudukan, keadaan mungkin jadi berbeza.

"Namun, kami tidak memulakan separuh masa kedua dengan begitu baik, kami terpaksa bertahan.

"Pahang mengasak dari sebelah sayap kanan, khususnya Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh. Mereka memberi masalah kepada kami di sebelah kiri," ujar jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal.

Dollah Salleh menyimpulkan kemenangan skuad kendaliannya, Pahang, dengan berkata: "Selepas kehadiran Dickson, corak permainan kami nampak berbeza.

"Cuma ada sedikit kelonggaran berlaku dalam separuh masa pertama."