Pemain Selangor, Nurridzuan Abu Hassan, mengakui keterlanjuran menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Perak timbul daripada perasaan yang dipendam sekian lama apabila seringkali menjadi mangsa ejekan penyokong bekas pasukannya itu.

Nurridzuan bertindak di luar kawalan apabila menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Insiden itu berlaku dalam babak kedua ketika pemain berusia 27 tahun itu berjalan keluar dari padang sejurus dilayangkan kad merah.

Nurridzuan mengakui hilang sabar dan sukar membendung provokasi penyokong Perak terhadapnya sejak awal permainan dan ia layanan yang diterima sejak keluar dari Perak pada 2017.

"Kenapa perlu ejek saya sedangkan saya pernah mencurahkan keringat untuk Perak?

"Saya tak minta banyak pun, cuma minta untuk dihargai.

"Saya tidak mahu bermusuhan dan saya meminta maaf kepada penyokong Perak atas kelakuan saya.

"Eloklah kita lupakan kisah ini," katanya.

Enggan memanaskan lagi keadaan, Nurridzuan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penyokong Perak hari ini susulan daripada perbuatannya itu.

Bagaimanapun, dia berdepan hukuman denda dan digantung perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdasarkan Artikel 59, Kod Tatatertib FAM berikutan kelakuan yang menyinggung dan 'fair play'.

"Semua itu akan mengambil masa, namun saya telah menyebabkan jurulatih hilang kepercayaan terhadap saya.

"Dalam masa sama, saya akan perbaiki sikap dan eloklah kita mulakan bab baru," katanya lagi.