Penyerang baru The Fighters, Norshahrul Idlan Talaha, kembali menemui sentuhan berbisanya dan berharap dapat meneruskan momentum ini sehingga penghujung musim liga.

Pada musim lalu, Norshahrul kembali bersama pasukan negeri kelahirannya, Terengganu, tetapi gagal memberikan impak di hadapan gawang lawan.

Tampil berbeza untuk musim ini bersama Felda United, Norshahrul banyak memainkan peranan dalam mencipta gerakan dan umpanan berbahaya buat rakan sepasukan ketika bertemu PKNS pada Sabtu.

Kelibatnya begitu berbahaya sehingga dia dikasari dalam kawasan penalti oleh pertahanan PKNS dan berjaya memperoleh sepakan penalti, namun rakan sepasukan, Gaston Cellerino, gagal menyudahkannya.

"Bagi saya, ini merupakan perlawanan yang penting bagi menguji prestasi pasukan, saya berharap kami dapat mempamerkan aksi yang lebih konsisten untuk perlawanan akan datang," katanya.

Norshahrul atau lebih mesra dipanggil Mat Yo berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-67.

Ia mengundang pujian daripada jurulatihnya, Azmi Mohamed, yang melihat kesungguhan dan komitmen pemain ini untuk membantu The Fighters meraih kejayaan.

"Setakat ini, saya dapat melihat kesungguhannya dalam sesi latihan dan daripada perlawanan berdepan PKNS. Dia telah membuktikan kebolehannya dan sentiasa memberikan komitmen di atas padang."